MANCHESTER United akan menjalankan proses dalaman sebelum menentukan langkah seterusnya selepas kesemua pertuduhan terhadap Mason Greenwood digugurkan.

Pemain berusia 21 tahun itu diberkas pada Januari 2022 dan sepatutnya menjalani perbicaraan pada November depan atas dakwaan percubaan merogol, serangan dan tindakan mengawal dengan paksaan.

Bagaimanapun, Crown Prosecution Service (CPS) mengesahkan malam tadi bahawa kesemua dakwaan itu tidak lagi diteruskan.

Kali terakhir Greenwood mewakili United adalah ketika menewaskan West Ham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 22 Januari tahun lalu sebelum dia digantung kelab berkenaan.

United kini merancang untuk mengadakan penilaian sendiri sebelum sebarang keputusan dibuat membabitkan hubungan pemain itu dengan kelab berkenaan.

Kelab itu berkata dalam satu kenyataan: "Manchester United sedar bahawa CPS telah menggugurkan segala dakwaan terhadap Mason Greenwood.

"Kelab ini akan menjalankan proses sendiri bagi menentukan langkah seterusnya.

"Kami tidak akan memberikan sebarang komen lanjut mengenai perkara ini sehingga proses itu selesai."